Friday, 28 June 2013

♥ Kawan atau Sahabat (1)


Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang
Tanyalah Ustaz – 26 June 2013

Bacaan Surah Al-Furqan, ayat 27-30 :


Ayat-ayat ini merupakan ayat orang yang menyesal kerana tersilap pilih kawan. Menurut Abdullah bin Abbas, dialog ini merujuk kepada seorang bernama Uqbah yang pernah memeluk Islam. Namun setelah itu, kawan lamanya bernama Umayyah datang dan memujuknya kembali meninggalkan Islam dan dia pun terpengaruh dan mengikutnya. Maka, dia akan menjadi orang yang menyesal di akhirat ini. Walaupun cerita ini berlaku kepada Uqbah, namun pengajarannya adalah bersifat umum dan kita semua perlu mengambil pengajaran daripadanya.

Oleh itu, kita perlu memilih kawan kerana Allah Ta’ala agar ianya menjadi satu ibadah bagi kita. Persahabatan sebegini akan menjadikan kita lebih dekat kepada Allah SWT. Salah satu keistimewaan sahabat yang berkawan kerana Allah akan mendapat perlindungan arasy Allah di akhirat nanti.

Ada ulama membuat perumpamaan bahawa:
Ada kawan seperti nasi – kita selalu perlukan dia
Ada kawan seperti ubat – kita perlukan sekali-sekala
Ada kawan seperti penyakit – kita perlu tinggalkan.

Hadis Nabi SAW ada menyebut bahawa – “Seseorang itu berada di atas agama sahabatnya”. Oleh itu, amatlah penting untuk ibu bapa mengenali sahabat anak-anaknya. Kadang-kadang anak-anak pandai berpura-pura di hadapan ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu bergaul dengan sahabat anak-anak, dan ibu bapa sahabat anak-anaknya.

Senarai soalan dan jawapan
S: Bagaimana cara memilih sahabat kerana sikap mereka sukar dinilai?
J: Mengikut Islam, sahabat yang baik ialah:
  • apabila kita duduk dengan dia, kita menjadi semakin dekat dengan Allah, kita semakin mudah mengingati Allah dan sahabat itu membuatkan kita semakin suka mentaati Allah
  • kita dan dia boleh saling-menasihati – jangan cari sahabat yang hanya suka mengikut kata-kata kita.
  • Sahabat yang mendoakan kita
S: Saya ada seorang kawan yang baik dan suka menolong orang tetapi meninggalkan solat. Bolehkah berkawan dengannya?
J: Kita perlu menjadi kawan yang baik dengan menasihatinya agar solat. Paling kurang kita memberikan contoh terbaik kepadanya dengan menunaikan solat. Jangan sampai kita pula yang terpengaruh dengan tabiat meninggalkan solatnya itu. Nabi SAW membuat perumpamaan – jika kita berkawan dengan orang yang baik, seumpama berkawan dengan penjual minyak wangi, pasti kita mendapat wanginya juga. Namun, jika berkawan dengan orang tidak baik, itu seumpama berkawan dengan tukang besi, kita pasti terbau dengan asapnya juga.
Jika kita pula terikut sikap rakan yang tidak solat itu, maka lebih baik tinggalkan rakan tersebut.

S: Seorang kawan mengadu suaminya melebihkan kawan-kawan berbanding dirinya. Apa pandangan ustaz?
J: Betul, ini banyak berlaku. Jika berterusan, akan menghakis kasih-sayang dan kepercayaan isteri dan anak-anak. Ada juga suami yang rajin belanja kawan tapi kedekut dengan anak isterinya. Oleh itu, para suami mesti menyeimbangkan dengan cara yang terbaik seperti yang baginda Nabi SAW tunjukkan.

S: Saya biasa membantu kawan dalam masalah kewangan, tetapi sekarang sudah menjadi tabiat baginya meminta wang daripada saya. Apa yang mesti dilakukan?
J: Ini adalah kawan yang mengambil kesempatan. Oleh itu, kita jangan bagi ‘ikan’ tapi bagi ‘pancing’ agar dia dapat berdikari. Bantu lihat apa kebolehanannya untuk mencari kerja sendiri.

S: Saya ada seorang kawan yang saya dapati selalu tidak jujur dalam urusan kerja. Adakah saya turut menanggung dosanya?
J: Perkara ini banyak berlaku contohnya – ‘claim’ lebih dari sepatutnya dan sebagainya. Bukan sekadar itu, dia bangga dan menunjuk-nunjuk pula maksiat yang dilakukannya. Nabi SAW bersabda bahawa dosa orang yang bertaubat akan diampunkan kecuali orang yang berbangga-bangga dengan maksiat yang dilakukannya. Oleh itu, sebagai kawan yang baik, kita perlu menasihati dia agar berhenti daripada melakukannya. Jika dia tidak mendengarnya, maka kita perlu melaporkan kepada pihak berwajib. Ini penting kerana kita perlu amal ma’ruf dan nahi mungkar. Jika dibiarkan, takut perbuatannya menjadi ikutan orang lain pula. Syaitan pasti membisikkan untuk kita membiarkan, tapi kita perlu kuat untuk melawannya.

S: Anak jiran suka bawa balik kawan-kawan sehingga lewat malam. Apabila dinasihati, ibu bapa membela anaknya.
J: Betul, ini kadang-kadang menganggu jiran dengan bunyi yang bising, kesesakan tempar parkir dan seumpamanya. Nabi SAW bersabda dalam satu hadis, “Tidak beriman, tidak beriman, tidak beriman orang yang jiran tetangganya menanggung kesusahan kerananya”. Oleh itu, perlu dinasihati dengan baik agar perkara sebegini dapat dielakkan.

S: Mohon pandangan ustaz tentang adab berkawan dalam FB?
J: Islam ialah agama yang terbuka menerima perkembangan tetapi ada kawalan untuk menguruskan dengan baik.  Antara adab yang penting:-
       
  • Jangan sampai lalai meninggalkan solat, dan hilang tumpuan dalam pekerjaan dan kehidupan
  • Haram berkongsi gambar mendedahkan aurat, tak kiralah dalam FB, twitter, whatsapp dan seumpamanya
  • Jangan berkongsi status bersifat terlalu peribadi terutamanya hal suami-isteri
  • Jangan ‘chatting’ atau bermesej yang menaikkan nafsu syahwat.

No comments:

Post a Comment