Sunday, 4 August 2013

♥ Aku Tidak Bersendiri - Prof Muhaya (TV9)


Sebentar tadi ditunjukkan klip seorang remaja yang terasa dirinya sendirian dan amat gundah gulana. Tetapi, adakah kita benar-benar bersendirian? Mari kita renungkan semula, 20 tahun yang lampau, di manakah remaja tadi? Ketika itu, dia masih bayi yang comel dan ditatang dengan penuh kasih-sayang. Sembilan bulan sebelum itu, berlaku persenyawaan dalam rahim ibunya. Daripada 360 juta sperma ayahnya, cuma 1 yang terpilih untuk bersenyawa dengan ibunya untuk membentuk dirinya yang istimewa. Daripada 2 sel menjadi 4, 16 sehingga 100 billion sel kita sekarang ini – Siapakah yang menjaga sel itu? Siapakah yang menjaga sel itu untuk membentuk organ-organ yang tertentu? Itulah Allah bagi umat Islam dan Pencipta bagi penganut ugama lain. Ketika di alam roh, kita taat pada Pencipta kita dan tidak pernah menyoal mengapa belum dijadikan jantung atau telinga dan seumpamanya. Ketika dilahirkan, kita belum berakal tetapi bahagia dan senang dibahagiakan. Setelah berakal, barulah kita mula sedar akan kehidupan ini tidak lama dan kita perlu mencari apakah tujuan kehidupan ini.

Kita ada mata fizikal yang melihat dan ianya mudah dirawat. Tetapi mata hati kita tidak semestinya melihat seperti yang sepatutnya. Kita biasanya melihat sesuatu peristiwa pada zahirnya sahaja, dan tidak melihat kepada Pemberi peristiwa. In sha Allah dalam rancangan ini, kita akan cuba melihat siapa kita, dari mana kita datang dan apakah tujuan kita hidup kita – adakah semata-mata untuk memuaskan mata fizikal sahaja? Tentulah tidak!

Kembali kepada remaja tadi yang kesedihan kerana putus cinta dengan manusia. Jika mata hatinya celik, dia pasti sedar yang dia mencari kasih yang tidak kekal, daripada manusia yang juga tidak kekal. Alangkah baiknya jika kita meningkatkan makanan rohani iaitu cinta kepada Pencipta kita? Remaja tadi menangis kesedihan tetapi alangkah baiknya jika air mata itu digunakan untuk melihat diri kita dan takut kepada azab Allah.

Pada malam Jumaat yang indah ini, mari kita renung diri. Orang yang bijak selalu merenung dirinya sendiri dan tidak melihat orang lain. Orang yang hebat akan selalu bertanya pada dirinya sendiri, “Adakah benar apa yang saya lakukan ini?” Orang yang hebat akan memeriksa dirinya daripada dalam ke luar. Segala apa yang berlaku di sekelilingnya adalah hasil daripada apa yang ada di dalam jiwa kita.

'Tweet' 1 – “Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan tenang. Kalau hati tidak tenang, tanya diri berapa kali kita mengingati Allah”. – Prof. Dr Muhaya

Saya ada mengumpulkan cerita inspirasi daripada pengalaman saya menjadi doktor selama 27 tahun dalam sebuah buku. Apabila kita celik hati, setiap yang berlaku akan dapat kita ambil pengajaran daripadanya. Saya ingin petik kisah orang yang ajaib daripada buku ini. Orang atau mukmin yang ajaib ialah seorang yang bersyukur apabila senang dan bersabar apabila kesusahan. Ada satu kisah seorang berumur 40 tahun yang disahkan menghidap leukemia. Pada awalnya dia amat putus asa dan kerap bertanya kenapa perkara itu berlaku pada dirinya. Setelah mendapat nasihat yang baik, dia kemudiannya redha dan Alhamdulillah kini, dia telah sembuh dengan baik, bahkan dia juga menjadi lebih dekat kepada Allah SWT.

Ada satu lagi kisah tentang seorang remaja yang kita boleh ambil pengajaran. Pada suatu hari, saya ingin pergi ke satu wad tetapi saya mendengar pekikan yang kurang menyedapkan hati. Apabila dilihat, saya dapati ada seorang remaja lelaki yang sangat kacak, tetapi terlantar kerana telah lumpuh seluruh badannya. Rupa-rupanya dia kemalangan kerana memandu laju kereta yang baru diperolehi daripada ayahnya yang sangat kaya. Ayahnya kaya tetapi tidak berjaya mendidiknya dirinya dengan akhlak yang baik. Remaja itu tidak solat, marah-marah dan bersikap kasar kepada kakitangan hospital yang banyak membantu dirinya. Dia menyesal kerana ketika sihat dahulu tidak pernah menggunakan kaki untuk solat dan ke masjid. Segala nikmat yang Allah beri, Allah boleh ambil dalam sekelip mata sahaja. Oleh itu, setiap detik dan nikmat yang Allah berikan, perlu kita gunakan untuk mengabdikan diri kepada Allah Ta’ala.

Mari kita sama-sama fikir kembali – Adakah kita hidup ini untuk mencari redha Allah atau penghargaan manusia? Apabila kita berbuat sesuatu, pasti kita akan terfikir apa agaknya orang akan kata -> Mari kita ubah persepsi dan sebaliknya memikirkan –> “Apa yang Allah lihat dalam setiap perbuatan kita?!” Mari sama-sama kita pindahkan diri daripada kiri ke kanan. Mari kita ubah daripada kehidupan kesedaran keegoan (pentingkan apa yang kita ada, pakai, pangkat kita) kepada kesedaran ketuhanan, iaitu fokus pada apa yang kita boleh beri, bukan apa yang kita boleh dapat. Ibu bapa sekalian, cuba perhatikan bagaimana kita didik anak kita. Adakah kita mengajar mereka mencapai keputusan pelajaran yang baik untuk mendapat sanjung manusia atau untuk memberi makna dalam kehidupan mereka?

Kita jarang merenung diri. Cuba perhatikan – adakah kita ini seorang yang banyak masalah atau banyak ujian? Jika kita banyak masalah, kita akan mudah tenggelam dalam masalah itu. Mari renung diri dan cuba hidup dari dalam ke luar. Apabila kita menjaga fikiran menjadi positif, ianya akan menghasilkan emosi yang positif, yang kemudian akan menghasilkan tindakan yang positif dan hasilnya juga in sha Allah positif.

'Tweet' 2: “Jangan khuatir orang tidak menghargaimu, khuatirilah sama ada kamu menghargai orang lain atau tidak” – Kung Fu Zhe

“Orang tenang akan menang” - Orang yang tenang akan mengeluarkan hormon-hormon yang baik dan merubah enzim badan kita kepada kebaikan. Orang bukan Islam yang berharap pada Penciptanya juga akan mendapat ketenangan.

Dalam blok terakhir ini kita perlu melakukan transformasi diri. Untuk itu, kita perlu ada pelan tindakan iaitu kita perlu sediakan skrip kehidupan kita sendiri. Ada 5 prinsip yang perlu kita amalkan ada kita berasa bahagia dan bersama pencipta kita:
  1. Kasih sayang tanpa syarat pada semua makhluk ciptaan Tuhan.
  2. Memaafkan semua orang – siapa yang kata payah untuk dilakukan, pasti akan payahlah urusannya itu!
  3. Sentiasa murah hati – adakah orang kedekut yang tenang, dan orang murah hati yang tidak tenang?
  4. Tentukan mempunyai hubungan yang rapat dengan Pencipta – walaupun badan berada bersama manusia, tentukan yang hati kita bersama Pencipta kita.
  5. Setelah melalui keempat-empat ini, in sha Allah akan sampai kepada tahap kelima iaitu orang yang memiliki nafsu mutmainnah iaitu jiwa yang tenang. Mereka ini akan mendapat syurga di dunia lagi.
Setelah itu, tambah tiga prinsip lagi iaitu:
  1. Waktu terpenting ialah sekarang – oleh itu tak perlu risau yang telah berlaku ataupun yang akan datang
  2. Siapakah orang terpenting? Itulah orang yang berada di hadapan kita. Oleh itu, jangan lupa buat baik, terutama pada pasangan masing-masing, kita tak tahu mungkin itu kali terakhir kita bersama.
  3. Perbuatan terbaik ialah buat baik, tak kita pada siapa sekalipun.
Di samping itu, mari amalkan formula berikut: “Ada, beri, dapat”. Kita hanya boleh beri apa yang kita ada. Jika kita ada benda baik, baru kita boleh beri yang baik. Untuk ada benda baik, kita perlu celik mata hati terlebih dahulu. Bila mata hati sudah celik, barulah jelas tujuan setiap apa yang kita lakukan – adakah mencari keredhaan Allah ataupun penghargaan manusia. Dalam menghadapi situasi negatif, jangan fokus pada situasi itu, tapi renungkan kepada Pemberi situasi. Contohnya, jika berlaku kecurian – adakah kita ingin marah atau renung semula diri kita? Mungkin juga kita telah terambil rezeki yang haram, dan kita sepatutnya berterima kasih pada pencuri itu yang telah mengambil bahagian yang haram daripada rezeki kita. Itulah sikap orang celik hati!

Buatlah skrip kehidupan dan amalkan prinsip-prinsip yang telah disebutkan tadi. Di samping itu, kita juga perlu jaga 3 perkara:
  1. Apa yang kita cakap pada diri sendiri? -> adakah perkara yang positif atau negatif?
  2. Apakah tenaga di sekeliling kita? –> apakah rancangan TV yang kita tonton, radio yang kita dengar, berita yang kita baca, ‘tweet’ yang kita ikuti dsb.
  3. Apakah manfaat yag telah kita berikan? – >tentukan apa yang kita sebut, ‘post’, ‘tweet’ adalah perkara yang memberi kebaikan.
Setiap hari, kawal fikiran kita kerana ianya akan mengawal emosi dan tindakan kita dan akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Lihat diri dan hidup dari dalam ke luar. Hentikan melihat orang lain. Teruskan mencari ilmu dan bersama lagi minggu depan dengan tajuk – “Belajar Menerima Cinta”.

♥ Ilmu sumber dari : http://keranakasihnabi.blogspot.com - Moga Allah memberi rahmat kepada pencatit nota. Aameen..

No comments:

Post a Comment